Laluan hidup kita tidak sama dan plan DIA untuk kita juga berbeza. Email shaidahshafie@gmail.com
Tuesday 30 April 2024
30 April yang sangat bermakna..
Setiap tahun, tarikh 30 April sangat bermakna dan dinantikan, kerana apabila tiba tarikh ini, saya tahu setahun lagi usia bertambah dan itu juga tandanya Allah masih memberi peluang untuk saya menghirup udara, mendengar bunyi hujan, berhubung sesama sahabat, bertanya khabar adik-beradik dan banyak lagi perkara saya boleh lakukan.
Paling bersyukur apabila mampu bangun pagi dengan sihat dan membuka jendela untuk menjemput rezeki masuk. Ibarat kata, seperti burung yang akan berkicau riuh dalam perjalanan mencari rezeki dan begitulah manusia...Dan saya lebih beruntung kerana kadang-kadang, rezeki yang muncul di pintu..sahabat yang ini tidak pernah lupa akan tarikh 30 April. Kami kembar tak seiras, berlainan ibu bapa, akan tetapi berkongsi sebutan yang sama akan nama bapa. Beza sedikit sahaja iaitu pada ejaan, tapi sebutan hampir sama. Dr Mawar Shafei yang sudah sekian lama saya hormati akan ilmu kependidikan dan kesusasteraan yang ada padanya. Selembut tutur kata orangnya, begitu juga butir bicara apabila kami bersua..
Terima kasih Mawar meraikan tarikh 30 April saya. Semangkuk bingsu penghilang dahaga dan sajian Korea kami nikmati sambil berbicara cerita seputar hidup..semoga tahun depan saya pula berpeluang meraikan hari lahirnya..
Sedar tak sedar, dah lebih separuh abad hidup. Pelbagai warna telah dilihat, pelbagai keadaan telah dilalui dan setakat ini Alhamdulillah kerana masih berada di dalam peliharaan dan kepedulian Tuhan. Tidak mudah rasanya untuk mengharung hidup dalam dunia yg segala-galanya boleh dicapai dengan hujung jari, tidak semudah disangka untuk bersaing dalam dunia yang segala-galanya tanpa ada segan silu demi meraih 'tanda suka.'
Pun begitu, semoga Tuhan terus bagi kekuatan untuk terus kekal aman damai dengan apa yang dilalui sekarang..dan semoga bertahan sehingga akhir hayat.
Friday 12 April 2024
Aidilfitri di Rumah Ladang Sungai Malau, Selama..
Ketika zaman berkerja dulu, asal sebut hari raya je confirm nak kena apply cuti dan balik kampung. Dah plan nak balik awal seminggu atau balik suntuk-suntuk je sehari sebelum raya, tapi kini apabila dan berasa lama hidup, maksud saya dah lebih separuh abad usia, sambut Aidilfitri kat mana-mana pun ok asalkan ada sahabat handai atau adik beradik yang boleh dihubungi atau sama-sama menghadapi juadah penanda Aidilfitri, iaitu lemang, sate, kuah kacang, nasi impit mahupun nasi minyak.
Kebetulan beberapa hari sebelum 1 Syawal, ada kurus yang perlu dihadiri di Alor Setar. So plan terus jadi berubah, daripada nak beraya di KL jadi terberaya di rumah ladang adik di Sg Malau, Selama.
Tak sangka pula sambutan begitu meriah kerana ipar duai adinda saya ramai, masing-masing bawa juadah memenuhi meja dan mengikut tradisi keluarga mereka, pagi sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, mereka akan mengadakan tahlil dan takbir ringkas diikuti menjamah hidangan sebelum meneruskan langkah ke masjid.
Jauh di sudut hati juga, saya terfikir hidup ada banyak pilihan, sama ada untuk terus berasa sedih, berasa kekurangan atau memilih untuk meraikan hidup seadanya, meraikan yang muda, menghormati yang tua dan selebihnya bersyukur dengan nikmat sebesar alam yang tidak pernah surut daripada limpahan kasih sayang Allah.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Aidiladha beberapa tahun ini..
Tiba-tiba teringat pasal sate pulak tengah hari ni.. Aidiladha aku tak pernah sama setiap tahun. Pada tahun 2014, aku beraya di Brockley. ...
-
Kalau aku tak jadi kuli macam sekarang, mungkin aku jadi tukang masak walaupun aku tak pandai masak selalu kalau masak, KA dulu pernah k...
-
Rumah arwah mak kat kampung adalah rumah papan daripada kayu cengal yang dicelup minyak dan makin lama kayu itu makin gelap warnanya. Arwah...